Pensil Hidup

Thursday 11 July 2013
Bismillahirrahmannirrahim.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, akhirnya siap juga blog ini. Dalam sehari dua ini asyik memikir nak buat blog baru dengan wajah baru dan insyaAllah dengan pengisian yang baru. Alhamdulillah, inilah dia :)

Pensil Hidup?

Kenapa saya memilih Pensil Hidup?

Jawapannya mudah. Hidup kita di dunia ini ibarat pensil. Perlu diasah untuk terus tajam, perlu dijaga agar tidak terjatuh dan tidak patah, perlu dibimbing agar boleh terus berbakti. Cuba kita lihat sebatang pensil, ianya akan terus kaku jika kita tidak memegang atau menggunakannya.

Pensil digunakan untuk apa?

Zaman kanak-kanak dahulu kita sering diajar cara memegang pensil dengan betul, cara menulis dan melukis. Kita ini ibaratnya pemegang pensil dan kehidupan kita ini ibarat sebatang pensil. Suatu hari, cikgu menyuruh kita membuat satu garisan yang lurus, jika tidak kita akan didenda. Masa itu kita akan tercari-cari di mana pembaris kita. Ke hulu, ke hilir mencari pembaris. Ya, semestinya kita memerlukan pembaris untuk membuat satu garisan yang lurus. Pembaris itu samalah seperti pegangan agama dalam diri iaitu rahmat dari Allah s.w.t untuk kita terus ke hadapan. Kita sering menyebut ayat ini sebanyak 17 kali dalam sehari (maksudnya),

"Tunjukilah kami jalan yang lurus. (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat."(1:6-7)

Sedar atau tidak, kita sering memerlukan pertunjuk Allah s.w.t agar diri ini terus 'lurus'. Suatu hari Rasulullah s.a.w membuat satu garisan lurus, kemudian Baginda bersabda, "Ini adalah jalan Allah.", kemudian Baginda membuat garis-garis di kanan dan kirinya, kemudian Baginda bersabda,"Ini adalah jalan-jalan yang saling berselisih, yang pada setiap jalan tersebut ada seekor syaitan yang mengajak mengikuti jalan-jalan tersebut."(HR Ahmad dan al-Bukhari) 

Lihat, betapa perlunya kita "sebatang pembaris".

"Ala, patah pula pensil ni." keluh si anak kecil. 

Pensil patah? Apa kita perlukan?

Sudah tentu pengasah pensil (sharpener). Pensil patah tiada gunanya. Pensil perlu terus tajam agar dapat terus berbakti. Samalah seperti iman kita. Ada turun naiknya. Cuba tanya dalam diri, "Apa khabar iman?" Bagaimana kita mahu meningkatkan iman? Apa sharpener dalam hidup kita? Adakah kita mahu diri ini terus tumpul dan patah? Tanyalah diri.

"Apa kau buat ni? Salah ni. Nah, ambil pemadam ni!" tegur seorang teman.

Ya, kita tak lepas daripada kesalahan. Maknanya kita sangat memerlukan "pemadam" agar segala salah silap dapat diperbetul. Dalam erti kata lain, betapa perlunya taubat dalam diri.

"...orang-orang yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan kebaikan; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."(25:71)

Lihat, betapa perlunya "pemadam" dalam hidup ini. Cuma terpulang kepada individu tersebut sama ada mahu terus membuat kesilapan atau memperbaiki diri. 

Pensil + pembaris + pemadam + ?

Oh, ya. Sudah tentu kita memerlukan kertas kosong untuk menulis dan melukis. Samalah seperti dunia ini. Kosong. Kita yang akan mengukirnya untuk kelihatan indah, cantik, dan bermakna. Hasil yang baik akan terus dihargai jika tidak mungkin akan direnyuk dan dibuang ke tong sampah.

Pensil Hidup, InsyaAllah inilah tempat diri ini untuk terus menyampaikan dan berkongsi ,sekiranya ada tersalah silap harap diperbetulkan. Selamat membaca entry akan datang!

Kalau sudi jom follow Pensil Hidup dan like page di FB. Semoga ukhuwah online ini terus terjalin dan menjadi realiti ketika ketemu. InsyaAllah...




2 Ramadhan 1434H
11 Julai 2013













0 comments:

Post a Comment