Aku, Dia, dan Tudung

Monday 15 July 2013
 Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum. 

Alhamdulillah pejam celik pejam celik sudah enam hari kita berpuasa. 
Sepanjang Ramadhan ini, pelbagai ragam yang dapat saya perhatikan terutamanya dalam laman sosial lebih-lebih lagi Facebook. Ada yang bertanya, sahur apa? Berbuka juadah apa? Pergi bazar mana? Beli apa di bazar? Pergi dengan siapa ke bazar? Pergi terawih di mana?

Banyak. Ya, sangat banyak. Terasa betapa meriahnya Ramadhan ini.

Tidak kurang juga ada rintihan-rintihan kecil beberapa orang lelaki yang menarik perhatian saya. Mungkin rintihan kecil tapi “besar “ maknanya mungkin.

Lebih kurang begini:

“ Pergi ke bazar tadi, ada juga yang tak pakai tudung masa bulan puasa ni.”

“Kalau puasa tapi tak pakai tudung apa gunanya.”

“Wahai wanita di luar sana, tolonglah pakai tudung dan tutup aurat anda lebih-lebih lagi kalau berada di bazar. Kasihanilah kami kaum lelaki ini.”

Jawapannya banyak dan mudah:

“Rambut aku, suka hati aku lah nak buat apa.”

“Parents I tak kisah pon, yang you nak sibuk kenapa?”

“Ala, macam la dia tu baik sangat.”

“Aku tak bersedia lagi lah nak berubah. Tak dapat hidayah lagi.”

“Ini hak saya.”

Atau mungkin banyak lagi alasan yang tidak terjangkau dalam pemikiran saya.
Ya, kita tidak berhak untuk terus menilai. Ramai berkata, “Tak semestinya yang tak bertudung itu jahat.”
Itu benar tetapi sedar atau tidak akan ada yang berkata, “Ala, yang bertudung itu tak semuanya baik.”
Ramai yang berkata isu ini sudah lapuk, sering diperdebat sehingga ada yang sudah bosan.

Ada individu terus menyalahkan wanita-wanita tidak menutup aurat ini sebagai punca pelbagai  masalah sosial. Teringat kata-kata seorang pensyarah saya dan kebetulan ketika itu kelas saya  majoritinya kaum Adam dan hanya empat orang sahaja kaum Hawa. Kata-katanya lebih kurang begini, “Sampai bila mahu menyalahkan perempuan? Kamu yang lelaki ini ada menjaga pandangan? Mengapa di dalam Surah An-Nur  ayat yang ke-30  Allah memerintahkan kaum lelaki  terlebih dahulu supaya menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan dan ayat seterusnya barulah perintah untuk kaum perempuan?"

“Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (24;30)

“Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangan, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya(auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya(auratnya), kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau  saudara-saudara lelaki mereka(abang dan adik lelaki kandung), atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau para perempuan(sesama  Islam), atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan lelaki(tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui  perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung.” (24:31)

Ketika itu kelas riuh rendah dengan suara para lelaki.  Ada yang mengiyakan dan ada yang terus menimbulkan persoalan. Kata-kata itu terus terpatri di dalam ingatan ini.
Ada benarnya bukan?

Manakala ada dalam kalangan kaum wanita terus menerus menyalahkan lelaki . Dikatanya lelaki itu gatal, miang, dan bermacam lagi. Saling menyalahkan.

Tiba-tiba saya teringat kata-kata saudara Amin Idris(seorang pengacara di TV Al-Hijrah) ketika dalam program TeenACE beberapa minggu yang lepas. Lebih kurang begini, “Saling menyalahkan tidak ubah seperti kisah bangau oh bangau. Masih ingat lagu zaman kanak-kanak kita dahulu?

Bangau oh bangau,
Kenapa engkau kurus?

Macam mana aku tak kurus,
Ikan tak mahu timbul,
Ikan tak mahu timbul.

Ikan oh ikan,
Kenapa engkau tak timbul.

Macam mana aku nak timbul,
Rumput panjang sangat,
Rumput panjang sangat.

Rumput oh rumput,
Kenapa engkau panjang?
Macam mana aku tak panjang, Kerbau tak makan aku. Kerbau tak makan aku.
Kerbau oh kerbau, Kenapa tak makan rumput?
Macam mana aku nak makan, Perut aku sakit. Perut aku sakit.
Perut oh perut. Kenapa engkau sakit?
Macam mana aku tak sakit. Makan nasi mentah. Makan nasi mentah.
Nasi oh nasi. Kenapa engkau mentah?
Macam mana aku tak mentah. Api tak mahu menyala. Api tak mahu menyala.
Api oh api. Kenapa engkau tak mahu menyala?
Macam mana aku nak menyala. Kayu api basah. Kayu api basah.
Kayu oh kayu, Kenapa engkau basah?
Macam mana aku tak basah. Hujan timpa aku. Hujan timba aku.
Hujan oh hujan, Kenapa timpa kayu?
Macam mana aku tak timpa. Katak panggil aku. Katak panggil aku.
Katak oh katak. Kenapa panggil hujan?
Macam mana aku tak panggil. Ular nak makan aku. Ular nak makan aku.
Ular oh ular. Kenapa nak makan katak?
Macam mana tak makan katak. Memang makanan aku. Memang makanan aku.
Akhirnya, ada yang seperti ular. Tidak terus lagi menyalahkan yang lain.”

Mengapa kita tidak menjadi seperti ular? Mengapa kita tidak terus menyalahkan diri ini? Usahlah kita bertelagah tentang tudung di atas kepala. Cuba kita perhati dahulu hati di dalam dada. Masih “berfungsi”  atau tidak? Atau sudah “mati”?  Hati “mati” tidak ada gunanya!

“Ini diri aku! Hak aku!”

Ya, memang benar. Pada pandangan mata, yang ada pada diri kita ini adalah hak kita. Tetapi bagaimana kalau saya katakan bahawa kita ini tiada apa-apa. Kosong. Jangan salahkan mata,kaki, tangan, rambut dan segala apa yang ada pada kita hari ini, sekiranya segala ini akan belot di akhirat kelak.

Mengapa? Jawapannya sudah sedia terjawab di dalam Surah Fussilat(41:21-23):

Sehingga apabila mereka sampai ke neraka pendengaran,penglihatan, dan kulit mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka lakukan(21)

Dan mereka berkata kepada kulit mereka , “Mengapa kamu menjadi saksi kepada kami?” (Kulit)mereka menjawab, “Yang menjadikan kami dapat berbicara adalah Allah, yang(juga) menjadikan segala sesuatu dapat berbicara dan Dialah yang menciptakan kamu yang pertama kali dan hanya kepada-Nya kamu dikembalikan.”(22)

Dan kamu tidak dapat bersembunyi dari kesaksian pendengaran, penglihatan, dan kulitmu terhadapmu bahkan kamu tidak mengiraAllah tidak mengetahui banyak tentang apa yang telah kamu lakukan.(23)

Allah..Begitu mudah kita lupa.


Tolong berhenti menunding jari. Ayuh, jadikan Ramadhan satu titik permulaan ke arah yang lebih baik untuk hari mendatang.  Jadikan Ramadhan ini bukan hanya menjaga perut  bahkan turut menjaga mata, telinga, lidah, aurat dan segala-galanya. InsyaAllah akan terjaga hati dan iman. Amin….

Pilihan ada pada diri


6  Ramadhan  1434H
15 Julai 2013

4 comments:

NJihe.am said...

Salam akak, wah dah buat blog juga. jom pergi blog saya pula, http://studioous.blogspot.com/ -najihah-

Ummi Rashidah binti Adam said...

Waalaikumussalam. InsyaAllah akak akan ziarah :D

Unknown said...

nice sharing.. :)

Hanis Amanina said...

Benda2 yang baik macam jaga aurat ni memang payah kan nak buat :) Teringat satu quote ni, fake it till we make it. Macam betul jugak :)

Post a Comment